Rabu, 7 Mei 2008

5. KHUTBAH EIDIL ADHA 1422H

الله أكبر ( 3 كالي ) الله أكبر ( 3 كالي ) الله أكبر
الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا . الحمد لله الذي جعل يوم عيد الأضحى أسعد الأيام لنا . ونحمده على ما أولانا ونشكره على نعمه التى بها والانا.أشهد أن لاإله إلا الله وحده لاشريك له ,وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله . اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه ومن سار على نهجه إلى يوم الدين .
أما بعد..... فيا إخواني ! اتقوا الله وأوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون . …..
فرمان الله تعالى دالم أية 111 سورة التوبة :
إن الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأمولهم بأن لهم الجنة يقـتلون فى سبيل الله فيقتلون ويقتلون وعدا عليه حقا فى التورئة والإنجيل والقرءان ومن أوفى بعهده من الله فاستبشروا ببيعكم الذي بايعتم به وذلك هو الفوز العظيم
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan menganugerahkan syurga kepada mereka. Mereka berperang pada jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itu merupakan janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain daripada Allah?. Maka bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.

Muslimin/mat yang dirahmati Allah
Laungan tahmid memuji Allah dan laungan takbir membesarkan Allah bergema di setiap pelusuk dunia buat sekian kalinya bagi meraikan ketibaan Eidul Adha yang juga dipanggil dengan hari raya haji kerana pada waktu inilah seluruh umat Islam yang berpeluang untuk menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu haji sama-sama berkumpul di Mekah. Semalam para jemaah haji berkumpul untuk wukuf di padang Arafah yang mengingatkan mereka bagaimana kita semua akan mati dan kemudiannya akan dibangkitkan semula untuk dihitungkan di padang Mahsyar. Para jemaah haji juga dapat merenungkan bagaimana indahnya Islam yang dianuti oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, bangsa atau negara di mana melalui pertemuan ini sepatutnya digunakan sebaik mungkin dalam menyatukan semula hati umat Islam yang berpecah sehingga umat Islam menjadi boneka dan bahan permainan kuffar durjana. Bagi kita yang tidak mengerjakan ibadat haji pula telah digalakkan untuk berpuasa sunat hari Arafah sehingga amalan sunat yang dikerjakan ini bukan sahaja dijadikan bekalan hari akhirat tetapi turut mengetuk hati sanubari kita bagi sama-sama menghayati sunnah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di zaman orang lain membencinya. Berpegang dan menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w di akhir zaman ini bagaikan menggenggam bara api malah ganjaran bagi mereka yangmemperjuangkan dan mempertahankan sunnah nabi ini pahalanya seperti pahala seratus pejuang mati syahid sebagaimana yang tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi :
من تمسك بسنتي عند فساد أمتي فله أجر مائة شهيد
Maksudnya : Sesiapa yang berpegang teguh dengan sunnahku ketika kerosakan umatku maka baginya pahala seratus orang mati syahid.
Jika amalan sunat kita mampu hidupkan maka sunnah yang wajib dan lebih besar seperti melaksanakan seluruh sistem Islam yang meliputi ibadat khusus, kemasyarakatan, perundangan, ekonomi, politik dalam negara mestilah lebih diperjuangkan untuk dilaksanakan dalam memastikan kebahagiaan hidup di dunia fana dan akhirat yang kekal selamanya.

الله أكبر ! الله أكبر ! الله أكبر ولله الحمد
Kedatangan Eidul Adha turut mengingatkan kita kepada pengorbanan nabi Ibrahim bersama Siti Hajar dan anak mereka nabi Ismail. Demi menyahut perintah Allah maka nabi Ibrahim sanggup meninggalkan Siti Hajar dan anaknya Ismail yang masih kecil di suatu lembah yang kering kontang. Siti Hajar sebagai tanda patuh dan taat kepada Allah dan suaminya menerima perintah ini dengan sabar. Ketabahan Siti Hajar terserlah apabila sanggup berlari-lari anak di tengah kepanasan matahari dari bukit Sofa ke bukit Marwah sebanyak 7 kali sehingga Allah menganugerahkan air mata air yang dikenali dengan zamzam yang kekal sehingga hari ini. Pengorbanan suci ini di abadikan oleh Allah dalam ibadat sai’e ketika menunaikan umrah atau haji. Di sini kita dapat melihat antara contoh pembinaan sebuah keluarga Islam yang taat kepada Allah di mana Siti Hajar merelakan pemergiaan nabi Ibrahim untuk menjalankan kerja-kerja dakwah di Palestin dan begitu yakin bahawa setiap tindakan suaminya adalah berdasarkan perintah Allah. Siti Hajar sendiri menjalankan tugas sebagai seorang ibu yang bukan sahaja menjaga makan minum anaknya tetapi memainkan peranan penting dalam memberi tarbiah dan didikan yang sempurna kepada anaknya Ismail bakal seorang nabi lagi rasul. Peranan sebagai pendidik yang dimainkan oleh Siti Hajar telah memudahkan lagi tugas nabi Ibrahim yang terpaksa berdepan dengan amanah dakwah yang lebih berat. Apabila sepasang suami isteri sama-sama bekerja dan menjalankan amanah mengikut bidang tugas masing-masing maka terhasillah suatu keluarga yang bahagia dan berjasa kepada Islam.
Pembentukan keluarga ini mestilah diambil berat oleh kita semua dalam menangani permasalahan sosial masyarakat yang semakin runcing. Seorang suami dan ayah bukan sahaja bertanggungjawab memberi nafkah kepada ahli keluarga masing-masing tetapi dia juga mesti memainkan peranan penting dalam memberi ilmu dan menjaga setiap tindak tanduk ahli keluarga agar sentiasa menepati apa yang dikehendaki oleh Syarak. Begitu juga tugas sebagai isteri dan ibu yang berperanan bukan sahaja melibatkan penjagaan makan minum dan hal rumahtangga tetapi turut memainkan peranan penting dalam menjadikan rumah sebagai sekolah tarbiah yang utama dalam membina anak-anak yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi yang lebih penting adalah pembentukan akhlak peribadi yang mulia. Jika perkara ini dapat dimainkan dengan sebaiknya oleh setiap keluarga maka ia akan memberi kesan yang baik kepada masyarakat seterusnya negara. Ini bukan bermakna tugas seorang wanita hanya di rumah tetapi Islam membenarkan golongan wanita bekerja dengan syarat mereka menjaga kehormatan dan juga bekerja dalam bidang yang sesuai dengan fitrah wanita itu sendiri serta tidak mengabaikan tugas sebagai pendidik kepada anak-anak dalam membantu suami. Wanita Islam tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakyah musuh Islam terutama yahudi yang ingin merosakkan kehormatan wanita dan menghancurkan sistem keluarga dengan melaungkan persamaan taraf dan pembebasan wanita sehingga gejala sosial dalam negara semakin buruk akibat terlalu banyaknya penzinaan, perceraian dan terabainya tugas pentarbiahan dalam keluarga apabila masing-masing lebih mengejar kekayaan daripada membentuk keluarga bahagia. Tujuan sebenar kuffar ialah ingin menghancurkan benteng terakhir pembinaan keluarga Islam iaitu menghasut kaum ibu agar meninggalkan tugas sebagai pendidik dengan menyibukkan kaum wanita dengan kerja-kerja luar. Jika umpan kuffar ini ditelan bulat-bulat oleh wanita Islam maka akan hancurlah sebuah keluarga dan seterusnya masyarakat dan negara. Tiada lagi erti kebahagiaan dan kasih sayang yang selama ini dijaga oleh agama. Kebahagian bukan terletak pada harta tetapi ia sebenarnya terletak pada hati yang tenang kerana disirami kasih sayang dan dibajai oleh roh Islam.
Seorang penulis barat yang terkenal(Anarode) pernah berkata : Adalah lebih baik dan lebih ringan balanya bagi anak gadis kita yang bekerja di rumah sebagai pembantu dari bekerja di kilang atau pejabat kerana ia menjadikan mereka tercemar dengan kotoran yang boleh memusnahkan nilai hidup sepanjang zaman. Alangkah baiknya anak gadis di Eropah menjadi seperti anak gadis di negara Islam yang memiliki sifat malu dan memelihara kehormatan sebagai benteng. Alangkah malangnya negara seperti England menjadikan anak gadisnya contoh hidup yang tidak bermoral hasil percampuran bebas dengan kaum lelaki. Kenapa kita tidak berusaha menjadikan anak gadis kita bekerja dalam bidang yang sesuai dengan fitrah semulajadi wanita seperti mengurus rumahtangga dan meninggalkan kerja yang boleh dilakukan oleh kaum lelaki demi memelihara kemuliaan mereka.
Ini merupakan pengakuan daripada orang barat sendiri tentang keruntuhan moral wanita di barat

الله أكبر ! الله أكبر ! الله أكبر ولله الحمد
فرمان الله دالم أية 103 هيغك 107 سورة الصافات
فلما أسلما وتله للجبين وندينه أن يإبراهيم قد صدقت الرؤيا إنا كذلك نجزى المحسنين إن هذا لهو البلؤا المبين وفدينه بذبح عظيم
Maksudnya : Setelah keduanya berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah) dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah ( untuk disembelih) serta Kami menyerunya :”Wahai nabi Ibrahim! Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu”. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebuskan anak itu dengan sembelihan yang besar.
Ayat ini memberi pengajaran yang besar kepada kita bagaimana erti keyakinan dan pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh nabi Ibrahim dan anaknya Ismail dalam melaksanakan perintah penyembelihan berdasarkan mimpi. Walau pun wahyu ini menyuruh suatu pengorbanan yang tidak masuk akal tetapi ia tetap dilaksanakan oleh nabi Ibrahim dan nabi Ismail dengan penuh keyakinan dan kerelaan. Inilah ia contoh pengorbanan dan perjuangan besar yang mesti diikuti demi mencapai kejayaan dan keredhaan Allah. Kita pada hari ini diminta agar melaksanakan seluruh sistem Islam yang meliputi setiap aspek kehidupan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah yang nyata bukannya sekadar mimpi malah semua sistem ini telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w sendiri diikuti oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan khalifah selepas mereka termasuk di negara ini di zaman kesultanan Melayu Melaka dan kesultanan selepas itu sebelum sistem Islam ini dirobek dan diharamkan oleh penjajah dan diteruskan oleh anak didik mereka. Semasa pelaksaan system Islam ini maka kita dapati umat Islam berada di tahap ketamadunan yang tinggi dan menjadi pemimpin kepada tamadun yang lain sedangkan apabila sistem Islam berjaya dilenyapkan oleh penjajah maka umat Islam terus menjadi hamba kepada tamadun material barat. Akibat keangkuhan pemimpin daripada kalangan umat Islam sendiri yang merendah-rendah dan mempersenda sistem Islam maka Allah terus menghina umat Islam sehingga kita dijadikan buah catur dan bahan ujian kepada senjata canggih kuffar. Pemimpin ini lebih rela mempertikaikan keadilan perundangan Islam yang dijadikan punca kemunduran apabila tangan pencuri dipotong dan pembunuh dipancung sedangkan pemimpin bagaikan menutup mata apabila melihat banyak kepala rakyat penggal, perut terburai, nyawa bercerai daripada badan akibat perbuatan penjenayah yang gilakan harta dunia akibat mengabaikan pelaksanaan seluruh sistem Islam. Pemimpin yang jahil meminta agar rakyat terus mengikut seratus peratus tamadun material barat sedangkan tamadun barat hanya mampu memberi keseronokan material atau kebendaan sahaja tanpa dapat memberikan kebahagiaan dan ketenangan kepada manusia kerana ini semua berkaitan dengan roh yang semestinya akan kenyang apabila disuap dengan iman sedangkan barat membuang pengaruh agama dalam membina tamadun kebendaan mereka. Tamadun kebendaan barat lebih banyak melahirkan penjenayah, manusia yang sakit mental dan mereka yang kecewa sehingga membunuh diri sendiri. Ingatlah firman Allah dalam ayat 125 surah al-An’am :
فمن يرد الله أن يهديه يشرح صدره للإسلــم ومن يرد أن يضله يجعل صدره ضيقا حرجا كأنما يصعد فى السمآء كذلك يجعل الله الرجس على الذين لايؤمنون
Maksudnya : Sesiapa yang dikehendaki Allah akan diberikan petunjuk kepadanya maka Dia melapangkan dadanya untuk memeluk Islam. Dan sesiapa yang dikendaki Allah kesesatan maka Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit sebagai seksaan kepada mereka yang tidak beriman.

Muslimin/mat yang dihormati sekalian,
Tidak cukup lagikah pengajaran yang ditunjukkan oleh Allah tentang apa yang berlaku di Palestin, Lubnan, Kashmir dan beberapa negara umat Islam yang lain yang sebelum ini terkenal dengan ‘syurga dunia’ kerana negara tersebut dipenuhi hiburan yang melalaikan sehingga Allah menurunkan bala peperangan yang menyebabkan rakyatnya menderita sehingga hari ini. Oleh itu sempena menperingati pengorbanan nabi Ibrahim maka kita sebagai umat Islam mesti membuktikan keimanan dan keyakinan kita terhadap seluruh system Islam dengan melakukan pengorbanan harta malah nyawa demi memastikan Islam dapat dilaksana demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
بارك الله لي ولكم فى القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم وتقبل منكم تلاوته إنه هو السميع العليم واستغفر الله لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويا نجاة التائبين
خطبة كدوا
الله أكبر ( 3 كالي ) الله أكبر ( 3 كالي ) الله أكبر
الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا . الحمد لله نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهدى الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله, اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين . أما بعد...فيا أيها المسلمون! اتقو الله وأطيعوه واعلموا أن الله يحب المتقين ….فرمان الله تعالى دالم أية 27سورة المائدة :
واتل عليهم نبأ ابنى ءادم بالحق إذ قربا قربانا فتقبل من أحدهما ولم يتقبل من الأخر قال لأقتلنك قال إنما يتقبل الله من المتقين
Maksudnya : Ceritakanlah kepada mereka kisah 2 anak nabi Adam yang sebenar ketika keduanya mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua dan tidak diterima daripada yang lain. Dia(Qabil) berkata :” Aku pasti membunuhmu!”. Lalu berkata Habil : ” Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada mereka yang bertaqwa”.

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,
Ayat di atas memberikan petunjuk kepada kita bagaimana pengorbanan terutama dalam menegakkan Islam mesti bersungguh dan ikhlas kepada Allah bukannya secara sambil lewa dan terus tunduk kepada kehendak syaitan berupa jin atau manusia. Perasaan dengki dan permusuhan terhadap perjuangan Islam yang sebenar terus berlangsung sehingga akhir zaman. Kekuatan musuh yang menawarkan harta dan takhta akhirnya akan tunduk kepada mereka yang ikhlas berjuang dengan mengira dosa dan pahala, neraka dan syurga serta memandangkan setiap amalan termasuk perkara pemerintahan aka ditimbang di hadapan Allah di akhirat kelak bukannya terhenti di dunia sahaja sebagaimana yang dilaungkan oleh penganut ajaran sesat sekularisme yang memisahkan antara politik dan agama. Antara senjata terakhir musuh dalam menghadapi kemenangan Islam ialah melakukan penindasan dengan menyekat kebebasan dalam menyampaikan maklumat samada melalui tv, radio, akhbar malah turut disekat kuliah agama dan ceramah disamping melakukan kerosakan terhadap harta awam tidak berkecuali pembunuhan kejam dengan menuduh gerakan Islam sebagai dalang kepada setiap keganasan yang berlaku. Perkara ini biasanya mendapat bantuan dan nasihat daripada pengganas yahudi sebagaimana yang telah berlaku di Turki dan Algeria serta beberapa negara yang lain dan tidak ketinggalan negara kita. Pemimpin lebih rela berhadapan dengan kebangkitan rakyat daripada tunduk kepada tuntutan agar ditegakkan negara Islam merdeka yang melaksanakan seluruh sistem Islam. Tindakan pemimpin ini yang sanggup menjadi pak turut pengganas kuffar dalam berhadapan dengan Islam termasuk kes penutupan madrasah di Pakistan dan cubaan yang sama di negara ini amat dikesali dan bacul. Tindakan kejam dan tidak bertamadun ini bukan sahaja merugikan Islam malah memberi peluang kepada kuffar untuk menjajah negara buat kali seterusnya dengan mudah. Kita peringatkan mereka bahawa pejuang Islam tidak akan sekali-kali berundur ke belakang sebaliknya kita semakin mara ke hadapan. Apa yang penting ialah Islam mesti diletakkan kembali sebagai agama yang memerintah bukannya agama yang diperintah. Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud :
قَالَ الرَّسُوْلُ  : اَلا إِنَّ الإسْلامَ دَائِرَةٌ فَدُوْرُوْا مَعَ الإسْلامِ حَيْثُ دَارَ . اَلا إِنَّ السُّلْطَانَ وَالقُرْءَانَ سَيَفْتَرِقَانِ فَلاتُفَارِقُوْا الكِتَابَ اَلاسَيَكُوْنُ عَلَيْكُمْ اُمَرَاءَ مُضِلُّوْنَ اِنْ اَطَعْتُمُوْهُمْ اَضَلُّوْكُمْ وَإِنْ عَصَيْتُمُوْهُمْ قَتَلُوْكُمْ قَالُوْا : مَا نَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ : كَمَا اَصْنَعَ اَصْحَابُ عِيْسَى نَشِرُوْا بِالمَنَاسِيْرِ وَهُمْ يُصْلَبُوْنَ عَلَى الخَشَبِ فَوَ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَمَوْتٌ فِى طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِّنْ حَيَاةٍ فِى مَعْصِيَةِ اللهِ عَزَّوَجَلَّ
Maksudnya : Ingatlah bahawa Islam itu berputar maka berputarlah kamu bersama Islam ke mana saja ia berputar. Ketahuilah bahawa pemerintah dan al-Quran akan berpisah maka janganlah kamu berpisah dengan al-Quran. Akan muncul di kalangan kamu pemimpin yang menyesatkan. Jika kamu taati mereka maka mereka akan sesatkanmu dan jika kamu menentang mereka maka mereka akan membunuhmu. Para sahabat bertanya : “ Apa yang harus kami lakukan wahai Rasulullah?”. Sabda baginda : “ Lakukanlah sebagaimana sikap para sahabat nabi Isa di mana mereka digergaji dan disalib di pokok kayu. Demi Allah yang diri Muhammad ditanganNya maka mati kerana mentaati Allah lebih baik daripada hidup dalam mengengkari Allah.

Muslimin/mat yang dihormati sekalian,
Sempena Eidul Adha juga kita disunatkan untuk melakukan ibadat korban. Sesiapa yang mampu maka tunaikanlah ibadat korban ketika ramai saudara seagama yang menjadi korban kekejaman pengganas kuffar seperti di Afghanistan, Iraq dan Palestin. Gunakanlah peluang yang ada untuk menyembelih binatang korban ketika ramai saudara kita disembelih oleh kuffar durjana. Akhir kata selamat hari raya Eidul Adha diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat.
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيَ الحَاجَاتِ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ وَلايرحمنا, اللّهُمَّ انصر المجاهدين الذين يجاهدون في سبيلك في كل زمان ومكان , اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ. اللهم وفقنا ولاة أمورنا ووزراءنا وكبراءنا لما فيه رضاك وادفع عنا شر الطاغين والظالمين والمعتدين من بلدنا هذا خاصة ومن بلدان عامة يا رب العالمين . وأدخلنا وإياكم الجنة مع الفائزين . ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار. سبحانك اللهم وتحيتهم فيها سلام وآخر دعواهم أن الحمد لله رب العالمين

Tiada ulasan: